Rezeki Aidiladha, kerapu 10 kg dijual RM400

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TANJUNG BIDARA 19 Julai – Tiga nelayan memperoleh rezeki lumayan apabila berjaya menjual ikan kerapu atau ‘ateng’ seberat 10 kilogram (kg) pada harga RM400, hari ini.

Ikan ditangkap menggunakan rawai 800 mata kail itu dijual kepada seorang penggemar kerapu.

Tangkapan itu disifatkan tekong, Mohd Ali Abu Bakar, 51, dan dua awak-awak, Mohd Amin Fuad Ramli, 27, dan nelayan yang hanya dikenali sebagai ‘Boyak’ sebagai rezeki Aidiladha.

Mohd Ali berkata, mereka turun merawai dari pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak ke perairan kira-kira satu batu nautika dari pantai Tanjung Bidara.

“Kami menggunakan umpan ikan malong dan membuang rawai ke dalam laut pada jam 5 pagi tadi sebelum menariknya dua jam kemudian.

“Pada mulanya, tiada ikan yang mengena mata kail tetapi selepas Mohd Amin menarik hampir tiga suku daripada keseluruhan rawai, dia menyatakan terasa ada ikan besar menarik kuat rawai,” katanya ditemui sejurus naik ke darat di pangkalan itu.

Mohd Amin berkata, selepas kira-kira lima minit melepaskan dan menarik semula perlahan-lahan tali rawai, dia akhirnya berjaya menaikkan ikan kerapu itu.

“Alhamdulillah, seekor kerapu besar yang kami panggil sebagai ‘ateng’ muncul di muka laut, lantas saya segera menangkap celah insangnya dan mengangkatnya masuk ke dalam perahu.

“Amat jarang kami dapat menangkap ateng di perairan pinggir pantai kerana ikan dengan saiz seumpama itu lazimnya hanya boleh ditangkap di perairan lebih lima batu nautika,” katanya.

Sementera itu Boyak berkata, kemungkinan ikan berkenaan menghampiri perairan pinggir pantai kerana mengejar geragau atau udang kecil yang ditangkap nelayan untuk dijadikan belacan atau cencaluk.

Katanya, kerapu adalah ikan gred A yang jika beratnya kurang daripada tiga kg, dijual pada harga RM48 sekilogram.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1458
Kongsi :
Previous post PM menaruh harapan tinggi pingat emas pertama Olimpik
Next post Lebih 14 juta dos vaksin COVID-19 diberikan sehingga semalam
Ubah saiz-+=