Rezeki ‘tersadai’ 11 tahun, penerbit filem Spilt Gravy On Rice hampir putus asa

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KLEBANG 4 Disember – Selepas lebih sedekad tersadai akibat mendapat halangan spesifikasi Lembaga Penapis Filem (LPF), kejayaan filem Spilt Gravy on Rice menggondol Filem Terbaik dan enam kategori lain pada Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) umpama mengubat kekecewaan penerbit untuk terus menghasilkan karya terbaik.

Zarul Al Bakri Ikmal berkata, filem itu diterbitkan pada tahun 2011 namun ‘sangkut’ antara tahun 2012 hingga 2018 atas pelbagai faktor termasuk karakter dan spesifikasi yang tidak bersesuaian untuk tontonan umum.

Bagaimanapun, katanya selepas mengadakan perbincangan dengan LPF, beliau terpaksa melakukan pengolahan semula dari segi dialog dan karakter bagi melepasi kriteria ditetapkan.

“Penghargaan pada malam ini amat penting kepada saya, pertama kalinya saya tidak sangka (menang) dan saya pernah hilang harapan untuk menghasilkan filem dan berkarya.

“Namun, kejayaan pada malam ini memberikan nafas baharu untuk saya memberikan sumbangan kepada industri sekali lagi kerana sudah lama saya ‘hilang’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berakhirnya FFM32 yang berlangsung di Encore, di sini Jumaat lalu.

photo1670046841
Penerbit Filem Spilt Gravy, Zarul Albakri dinobatkan Anugerah Filem Terbaik mengadakan sidang akhbar pada Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) di Encore Theatre, Melaka. Foto: MR. AZLI

Filem yang berkisarkan kehidupan lima beradik dari lima ibu berbeza dengan ragam berbeza dan dibesarkan oleh seorang bapa itu berjaya membawa pulang trofi dan Dana Kandungan Digital (DND) bernilai RM500,000.

Meskipun kutipan filem gagal mencatatkan pulangan modal kos pembikinan yang mencecah lebih kurang RM3 juta namun Zarul optimis untuk menyeimbangkan antara kualiti dan kehendak pasaran dalam menghasilkan filem baharu pada masa akan datang.

“Di pasaran, kami tidak ‘box-office’ (pecah panggung) hanya mendapat kutipan kurang daripada RM1 juta termasuk tayangan di Netflix malah tidak ‘cover back’ kos tetapi pastinya memberi pengajaran yang besar.

“Bukan semua filem boleh sukses dan mungkin selepas ini saya bolej berfikir untuk berkarya lagi, kami akan cari jalan penyelesaian supaya lebih seimbang antara perniagaan dan berkarya.

“Dana kemenangan itu, saya akan melabur semula dalam filem dan fikirkan apa yang boleh kita lakukan, jadi apa yang kita boleh buat adalah gunakan secara kreatif dan keluarkan hasil yang unik, itu yang penting,” katanya.

Dalam pada itu, Zarul juga menitipkan kesedihan kerana tidak dapat meraikan kejayaan itu bersama penulis asal naskah filem berkenaan yang juga teman baiknya, Allahyarham Jit Murad.

Katanya, arwah teman baiknya banyak menghasilkan skrip yang bagus serta mempunyai mesej tersirat sekiranya diangkat sebagai naskah filem namun perkara itu akan dibincangkan kemudian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4721
Kongsi :
Previous post Tandas kayangan: ‘Luar setinggan, dalam kondo’
Next post Pelantikan Ahmad Zahid dibuat berdasarkan hierarki parti – Ahmad Maslan
Ubah saiz-+=