Ribut awal pagi, sembilan peniaga alami kerugian

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 23 Julai – Sembilan peniaga di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini, kerugian ribuan ringgit apabila khemah mereka musnah akibat dipukul ribut awal pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Dataran 1Malaysia Klebang (PPDIMK) Harith Harun, 31, berkata kejadian itu disedari selepas dimaklumkan peniaga lain menerusi WhatsApp.

“Selepas dimaklumkan, saya bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut melihat dua khemah saya untuk jualan pakaian rosak dan menyebabkan saya rugi hampir RM5,000.

“Nasib baik sebelum itu saya sudah bawa keluar semua pakaian jualan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kalau tidak lebih banyak kerugian yang terpaksa ditanggung.

“Tapi, ada juga peniaga makanan yang mengalami kerugian lebih banyak dan kita diminta membuat laporan polis serta mengambil gambar kerosakan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

NORHIZAM

Katanya, insiden itu bukan pertama kali berlaku, malah tahun ini sahaja sudah dua kali ribut melanda kerana lokasi yang berdekatan dengan kawasan pantai.

“Saya harap pembinaan bangunan gerai kekal yang dirancang sebelum ini dapat disegerakan…jika tidak peniaga akan terus dihantui insiden ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Exco Usahawan Datuk Norhizam Hassan Baktee yang turun ke lokasi berkata, kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyegerakan pembinaan kedai kekal bagi mengelakkan peniaga kerugian jika khemah mereka dilanda ribut.

RIBUT awal pagi menyebabkan sembilan peniaga alami kerugian.

“Saya akan bawa salinan laporan polis yang dibuat semua mangsa kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

“Ini bagi membincangkan bantuan yang boleh disalurkan bagi meringankan beban peniaga yang mengalami kerugian” katanya.

Dalam pada itu, Norhizam turut memohon peruntukan RM25,000 daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi kos membaiki segala kerosakan dialami nelayan di Pantai Rombang, Pantai Puteri.

“Peruntukan ini untuk membaiki kerosakan membabitkan pondok tempat simpan bot nelayan dan jaring menangkap ikan di Pantai Puteri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

569
Kongsi :
Previous post COVID-19: Malaysia catat kes harian tertinggi 15,573 kes
Next post JKM Melaka terima 929 permohonan bakul prihatin negara
Ubah saiz-+=