JKM Melaka terima 929 permohonan bakul prihatin negara

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

JASIN 23 Julai – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menerima 929 permohonan untuk bantuan Bakul Prihatin Negara sejak Ahad lalu.

Pengarahnya Burhanuddin Bachik berkata, daripada jumlah itu sebanyak 399 permohonan diterima dari daerah Melaka Tengah, Jasin (256 permohonan) dan Alor Gajah (274 perrmohonan).

Beliau berkata permohonan masih dibuka dan pemohon akan menerima bakul makanan berkenaan dalam tempoh 24 jam.

JKM Melaka juga, katanya, tidak meletakkan had tertentu bagi mana-mana keluarga atau individu untuk memohon bantuan tersebut.

“Mereka yang memerlukan boleh menerima lebih daripada sekali dan ada juga keluarga besar yang tinggal dalam satu rumah menerima lebih daripada satu bakul makanan, namun ia bergantung kepada bekalan yang kita terima,” katanya kepada Bernama di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata pihaknya menerima 2,600 Bakul Prihatin Negara bernilai RM130,000 secara berperingkat, untuk diagihkan kepada golongan terjejas ekoran penularan COVID-19.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,000 bakul akan diagihkan untuk penduduk di daerah Melaka Tengah manakala masing-masing 800 bakul diperuntukkan untuk rakyat di daerah Jasin dan Alor Gajah.

“Setiap Bakul Prihatin Negara mengandungi pelbagai barangan keperluan asas antaranya beras, gula, tepung, bihun, kicap dan sardin bernilai RM50.

“Setakat ini, kita telah menerima sebanyak 600 bakul untuk diagihkan, masing-masing 200 bakul untuk tiga daerah di negeri ini sejak 18 Julai lepas dan proses pengagihan telah pun bermula yang dilakukan oleh Sukarelawan Skuad Prihatin Negara (SPN),” katanya.

Katanya beliau menjangkakan baki Bakul Prihatin Negara akan diterima pada minggu hadapan dan orang ramai yang memerlukan bantuan makanan boleh membuat permohonan menerusi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD), laman sesawang JKM di www.jkm.gov.my, Bilik Gerakan JKM, talian Nur 15999, media sosial JKM atau pemimpin masyarakat setempat.

Sementara itu, beliau berkata JKM Melaka mengalu-alukan orang awam untuk menjadi sukarelawan SPN dengan memohon menerusi laman sesawang JKM atau hadir ke PKMD berhampiran.

Sehingga kini, menurutnya, terdapat 126 orang sukarelawan SPN berdaftar di negeri itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

866
Kongsi :
Previous post Ribut awal pagi, sembilan peniaga alami kerugian
Next post Wakil pembangkang dalam MPN
Ubah saiz-+=