RM30,000 dijangka dicatatkan pada PJKM Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LINGGI 5 Dis – Sambutan menggalakkan pengguna terhadap Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pertama di Melaka dijangka mencatatkan nilai jualan RM30,000.

Unjuran itu adalah berdasarkan sambutan daripada pengguna, terutama mereka yang mendapatkan ayam dan ikan serta sayur yang dijual pada harga lebih rendah berbanding di pasaran.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pengguna tidak mahu melepaskan peluang menikmati barangan makanan berkualiti tinggi pada harga lebih rendah.

“Antara barangan yang dijual 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran ialah telur, minyak masak, tepung dan beras manakala roti dan sardin pada harga RM1 satu.

“Ayam dijual pada harga RM8 seekor dan begitu juga dengan ikan siakap RM8 seekor,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekan Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Program dua hari yang bermula semalam itu disertai enam agensi kerajaan dan 13 syarikat yang menawarkan pelbagai bahan makanan, termasuk ayam pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Sehubungan itu, KPDNHEP akan menganjurkan program yang sama di Machap, Alor Gajah pada 18 dan 19 Disember ini sebelum di Rim, Jasin (8 dan 9 Januari depan) serta Merlimau (29 dan 30 Januari 2022)

Hasnol berkata, pengguna yang ditemuinya pada program itu ternyata berpuas hati dengan harga yang ditawarkan dan meminta program seumpama itu diadakan secara lebih kerap.

“KPDNHEP dan kementerian lain yang terbabit dalam penyediaan bahan makanan untuk anggota komuniti akan terus memantau harga barangan makanan, terutama ayam, ikan dan sayur bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Bahagian Penguatkuasaan kementerian itu melipatgandakan usaha memantau pergerakan harga bahan makanan bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa manipulasi sesetengah peniaga yang gemar mengaut keuntungan secara berlebihan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post Penugasan polis Melaka selaras dengan matlamat kerajaan negeri
Next post Letusan Gunung Semeru di Indonesia ragut 13 nyawa
Ubah saiz-+=