RM43.5 juta selesai masalah pengairan sawah DUN Klebang Fasa 2

Masa Membaca:58 Saat

SERI NEGERI 9 Julai – Projek Sistem Pengairan Sawah Padi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang Fasa 2 melibatkan peruntukan sejumlah RM43.5 juta bakal dilaksanakan bermula tahun 2025.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata peruntukan itu diluluskan Kerajaan Persekutuan Jun lalu dan dijangka mengambil tempoh dua tahun untuk siap sepenuhnya.

“Projek ini telah tertangguh sejak tahun 2012, namun Kerajaan Persekutuan telah meluluskan semula projek pengairan ini dengan jumlah sebanyak 31.5 juta.

“Tetapi apabila projek ini diluluskan terdapat masalah yang berlaku iaitu isu pengambilan tanah yang mana memerlukan kos tambahan sebanyak RM12 juta.

“Alhamdulillah atas kerjasama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan agensi terlibat kita telah memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM12 juta. Ia telah diluluskan dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM43.5 juta bagi menyelesaikan masalah pengairan di dalam kawasan sawah padi DUN Klebang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) mengenai sistem pengairan sawah padi DUN Klebang Fasa 2 pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di sini hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Kongsi :
Previous post Ekosistem pelaburan Melaka ditambah baik – KM
Next post Melaka cakna kebajikan mantan Adun
Ubah saiz-+=