RM450 ‘halalkan’ hubungan Rohingya dengan isteri orang

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

DUYONG 19 Februari – Satu sindiket pernikahan palsu berjaya di kesan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membabitkan warga asing dalam satu serbuan bersepadu dijalankan di Semabok, di sini malam tadi.

Sindiket dikenal pasti menjalankan taktik pernikahan tanpa dokumen dan sijil yang sah dengan hanya membayar upah RM450 telah ‘menghalalkan’ hubungan warga asing itu.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, dalam serbuan dijalankan kira-kira jam 1 pagi,dua buah keluarga telah ditahan di mana salah satu pasangan membabitkan lelaki Rohingya dan wanita Indonesia itu gagal mengemukakan dokumen pernikahan sah

Katanya, hasil soal siasat dijalankan pihaknya mendapati lelaki berusia 30-an itu mendakwa telah bernikah dengan wanita Indonesia itu di sebuah surau berdekatan kediamannya pada 2018 dengan menggunakan kaedah pernikahan dijalankan seorang individu didakwa seorang imam.

Menurut beliau, pasangan itu dikenakan pembayaran sebanyak RM450 bagi caj nikah itu dan diberikan sijil pernikahan palsu.

“Hasil pemeriksaan kita telah menahan dua buah keluarga termasuk pasangan Rohingya dan Indonesia yang status pernikahannya disangsikan kerana kita syaki mereka telah menggunakan khidmat sindiket dengan bayaran RM450.

“Wanita berusia 30-an itu disyaki masih isteri orang kerana mempunyai anak hasil perkahwinan dengan lelaki Indonesia malah wanita itu mendakwa dia dan anaknya telah ditinggalkan suami sejak enam bulan dan tiada sebarang penceraian berlaku sepanjang itu.

“Sebulan selepas kejadian itu, wanita terbabit telah bernikah dengan lelaki Rohingya itu dan kini dikurniakan seorang anak yang dilahirkan pada dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjalankan operasi di dua lokasi sekitar Semabok, malam tadi.

Hadir sama,Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan penguat kuasa daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia.

4BF9046F-52F6-4860-9529-67AE343C2105
CHE Sukri (kanan) bersama anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan ke atas warga asing dalam serbuan itu

Dalam pada itu, menurut beliau serbuan bersepadu dijalankan kali ini selepas menerima aduan daripada penduduk termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem mengenai perkampungan etnik Rohingya di kampung berkenaan.

Tambahnya, satu pasangan lagi yang ditahan dalam serbuan itu adalah rakyat tempatan membabitkan wanita berusia 31 tahun bersama dua orang anak kecil bersekedudukan dengan lelaki 61 tahun tanpa dokumen yang sah .

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman mendatangkan syak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7728
Kongsi :
Previous post Pelajar kejuruteraan penerbangan dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Rhu
Next post Khatan percuma bantu ringankan beban B40
Ubah saiz-+=