RMR bantu selesaikan masalah perumahan

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

ASAHAN 25 September – Rumah Mesra Rakyat (RMR) dilihat sebagai satu bentuk solusi terbaik bagi membantu lebih ramai rakyat di Negeri Melaka memiliki kediaman sendiri pada kos yang berpatutan serta tidak membebankan.

Berikutan itu penduduk kurang berkemampuan di negeri ini khusus disaran untuk memilih alternatif itu, sekali gus membantu mereka memiliki kediaman sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pemohon RMR akan menerima insentif seperti subsidi pembinaan sebanyak RM20,000 sementara itu bayaran bulanan dikenakan kepada mereka pula serendah RM300 sahaja.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, orang ramai khusus penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan digalakkan untuk memohon RMR.

“Sejak saya menjadi wakil rakyat antara permintaan penduduk di sini adalah membabitkan rumah. Permintaan memang tinggi tetapi kita semua sedia maklum Asahan adalah kawasan tadahan selain berada dalam zon pertanian.

“Disebabkan itu saya ambil pendekatan menggunakan peranan yang ada pada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) ini untuk menguar-uarkan RMR ini. Memang saya galakkan RMR ini dan membantu menyelesaikan pemasalahan perumahan khusus di DUN Asahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Taklimat Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan TNB Dekat Di Hati Peringkat Parlimen Alor Gajah Melaka, di Dewan Hang Kasturi, Selandar, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah SPNB Melaka Khairul Azhar Abdullah dan Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka Khairizam Ibrahim.

Menurut beliau, menerusi pengajuran program seumpama itu penduduk akan mendapat maklumat secara terperinci mengenai syarat dan kelayakan sebelum membuat permohonan RMR kepada SPNB.

“Menerusi pertemuan empat mata, rakyat boleh terangkan masalah atau apa yang mereka ada (tanah), pegawai bertugas pula boleh beri penyelesaian dan terangkan secara terus mengenai syarat permohonan.

“Justeru itu program ini saya akan teruskan untuk tahun berikutnya ke lokasi lain dalam memberikan input membabitkan RMR kepada penduduk bagi memudahkan mereka memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Konsep RMR adalah kediaman satu tingkat dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air bermula pada harga RM75,000.

Sementara itu bagi, Nor Zalela Esa, 47, berkata, meskipun permohonan RMR SPNB pertamanya tidak berjaya namun dia bersama suami tidak berputus asa dan sekali lagi mencuba nasib dengan harapan bakal memiliki kediaman sendiri selepas ini.

Nor Zalela berkata, RMR menjadi pilihan mereka kerana faktor harganya yang berpatutan selain bayaran bulanan yang rendah.

“Ketika ini kami menyewa dengan bayaran RM350 setiap bulan, jika ada kediaman sendiri wang lebihan itu boleh dimanfaatkan untuk perbelanjaan lain.

“Malah dengan adanya program seperti ini kami pemohon atau penduduk tidak perlu lagi bersusah payah untuk ke Melaka (Bandaraya Melaka) bagi proses menghantar borang atau mendapat maklumat berkaitan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1223
Kongsi :
Previous post Pemandu treler rempuh 14 kenderaan dihadapkan ke mahkamah
Next post Kurang amal gaya hidup sihat, berisiko diserang penyakit jantung
Ubah saiz-+=