Roda tiga lancar urusan cari rezeki

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TELOK MAS 28 Julai – Sumbangan roda tiga untuk dipasang pada motosikal amat membantu dan memudahkan Baktiar Affendi Borhan, 45, orang kurang upaya (OKU) kini menjalankan perniagaan sampingan menjual pakaian terpakai (bundle) setiap hujung minggu.

Baktiar yang juga kakitangan bahagian bahagian landskap sebuah Pihak Berkuasa Tempatan lumpuh separuh badan selepas diserang angin ahmar dan kini hanya menjalankan kerja-kerja pentadbiran di pejabat.

Namun dia tetap berusaha untuk menambah pendapatan menerusi perniagaan bundle kerana perlu menyara isteri dan lima anak masih bersekolah berusia empat hingga 17 tahun.

“Tetapi keadaan saya sekarang ini membataskan pergerakan. Alhamdulillah sumbangan roda tiga memudahkan lagi urusan saya mencari rezeki, perjalanan mengangkut barangan jualan ke tapak gerai juga lebih selamat.

“Jika mahu beli sendiri memang tidak mampu, terima kasih kepada Yang Berhormat (YB) kerana tampil membantu,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan berkenaan daripada Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong di Padang Temu Jaya, di sini, hari ini.

Sementara itu seorang lagi penerima sumbangan Tan Tian Gwan, 58, sebelum ini terpaksa membatalkan hasrat untuk melengkapkan motosikalnya dengan roda tiga selepas dimaklumkan kos diperlukan adalah sebanyak RM2,000.

Tian Gwan berkata, dia bercadang untuk memasang roda tiga bagi memudahkan urusannya yang menjalankan aktiviti mengutip barangan terpakai.

“Sebelum ini saya pernah beberapa kali terjatuh ketika mengangkut barangan terpakai kerana keadaan kaki sudah tidak kuat.

“Roda tiga ini memberikan banyak kebaikan kepada saya, selain itu lebih banyak barang terpakai boleh diangkut,” kata bapa kepada dua anak itu.

Sementara itu, Poay Tiong berkata, sumbangan berkenaan adalah insiatif pihaknya dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan.

“Ini juga adalah sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang mana kita mementingkan kebajikan rakyat dan apa yang dilakukan ini adalah secara berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2321
Kongsi :
Previous post Rumah ‘reput’ berwajah baharu
Next post Menggigil lihat bumbung diterbangkan ribut
Ubah saiz-+=