Roslan berkempen di TikTok, tarik sokongan anak muda

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

JASIN 18 November – Percaturan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad, menjadikan aplikasi TikTok sebagai platform mendekati pengundi muda mendapat sambutan luar jangkaan.

Menurut beliau, penggunaan aplikasi media sosial termasuk Facebook dan Instagram perlu dimanfaatkan sepenuhnya pada masa kini dalam usaha memperkenal diri secara dekat kepada pengundi Parlimen Jasin yang berada di luar kawasan itu.

Penggunaan medium secara dalam talian amat penting kerana menurutnya, rata-rata anak muda termasuk pelajar institusi pengajian tinggi tidak dapat berhubung lebih dekat dengannya sebagai calon kawasan itu.

“Bagi saya pengundi muda ini ada dua kategori, satu yang tinggal di Jasin, yang saya percaya mereka ini sentiasa ada program dan bersama YB muda.

“Kecuali pengundi muda yang diluar, mungkin di IPTS dan IPTA yang kita tidak dapat nak buat perhubungan secara berdepan dengan mereka ini.

“Jadi saya mainkan peranan melalui media sosial sepenuhnya, termasuk cari mereka yang berpengaruh. Misalnya dua, tiga hari lepas bila mula guna TikTok sambutan orang ramai khususnya anak muda melebihi jangkaan saya sehingga cecah 70,000 respon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malam Muda Mudi Anak Jasin, yang turut dihadiri Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh.

Hadir sama pelakon, Ashraf Muslim serta Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah.

Ujar Roslan, beliau bersyukur sepanjang berkempen dirinya diberikan kesihatan yang baik malah mendapat sepenuhnya sokongan daripada keluarga serta jentera BN.

“Syukur saya diberi kesihatan yang baik malah keluarga dan jentera tidak kenal penat lelah serta bersengkang mata siang malam untuk pastikan kemenangan.

“Saya juga yakin sambutan diberikan sepanjang 12 hari lalu berkempen serta walkabout, diberikan gambaran pengundi muda sama seperti sambutan malam ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1844
Kongsi :
Previous post Muhammad Jailani tampil beri penjelasan isu Disneyland
Next post Wajah Shahril Hamdan disembur cat
Ubah saiz-+=