Rumah batu ganti pondok usang

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

LENDU 24 Jan. – Selama 11 tahun menghuni pondok usang hampir menyembah bumi, empat sekeluarga di Kampung Solok Air Batu, dekat sini, teruja dan bersyukur mendapat rumah baharu.

Ketua keluarga, Mohd Razai Sudin, 29, berkata, kehidupan mereka kini lebih selesa dan aman di dalam rumah batu dibina melalui peruntukan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), termasuk tidak perlu lagi menadah hujan disebabkan bumbung pondok bocor.

Katanya, rumah dilengkapi tiga bilik, satu bilik air dan dapur itu memberikan keselesaan untuk dirinya, isteri, Norisah Ahmad, 40, serta dua anak berusia tujuh dan 16 tahun.

“Syukur kepada Allah dan jutaan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana sudi membiayai pembinaan rumah baharu ini.

“Kami amat teruja tinggal di rumah ini sejak minggu lalu, namun masih banyak barang dalam pondok yang belum dipindahkan.

“Terima kasih juga kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang membantu mendapatkan peruntukan Bank Rakyat,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.

Mohd Razai Sudin, 29.

Beliau menjelaskan, pondok tanpa bilik kira-kira 80 meter dari rumah baharu itu dibina pada 2009 sejurus mereka berpindah dari Cheras, Kuala Lumpur ke tanah pusaka arwah ibu mentuanya, Che Me Bujang.

Katanya, meskipun terpaksa bertarung dengan titisan hujan yang membasahi lantai dan kedinginan malam, mereka tiada pilihan selain menghuni pondok itu selama 11 tahun.

“Kami membuat banyak permohonan untuk mendapatkan bantuan rumah tetapi belum rezeki hinggalah Mas Ermieyati menziarahi kami beberapa bulan lalu.

“Saya tidak mampu membina rumah kerana hanya bekerja kampung seperti mengambil upah membersihkan kebun, memesin rumput, bertukang dan seumpamanya,” katanya.

Sementara itu, Norisah berkata, selepas Bank Rakyat bersetuju untuk menyediakan peruntukan, beliau mendapatkan persetujuan anggota keluarganya untuk mendapatkan tapak rumah berkenaan.

“Alhamdulillah, hanya sebulan saja diperlukan kontraktor untuk menyiapkan rumah ini,” katanya.

Bagi membantu menambah pendapatan suami, Norisah menanam pisang dan sayur serta cili padi untuk dipasarkan kepada peniaga di Pasar Masjid Tanah.

Views:

1356
Kongsi :
Previous post The Road to Bukittinggi: Aziz Ishak’s Rendition in his Mencari Bako
Next post Ajal langgar khinzir
Ubah saiz-+=