Rumah Prihatin jadikan Aidilfitri lebih bermakna

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

DUYONG 21 April – “Akhirnya anak-anak kami dapat tinggal dirumah yang amat selesa dan cantik.

“Sebelum ini kami anak-beranak berhimpit dalam rumah kecil, malah anak-anak terpaksa tidur diruang tamu,” kata Rohani Jalil, 49, penerima bantuan Rumah Prihatin.

Dia dan suami Mohamad Ninggal, 54, menganggap Aidilfitri akan datang amat bermakna selepas Rumah Prihatin yang dihadiahkan kerajaan negeri sudah boleh diduduki.

Rohani berkata, mereka membuat permohonan pada 2019 dan syurga kecil mereka yang dibina diatas tanah pusaka arwah bapa mentuanya siap awal Mac lalu.

Ibu kepada lima anak itu berkata, sebelum ini dia amat mengimpikan memiliki kediaman selesa buat anak-anak namun pendapatan suami sekitar RM1,300 sahaja sebulan membantutkan perancangan mereka.

“Perasaan saya gembira sangat sekarang ini, kesedihan melihat anak-anak berhimpit sudah hilang. Ternyata rezeki kami pada Ramadan kali ini.

“Tetapi apa yang menyentuh hati apabila Aidilfitri kali ini anak-anak dapat beraya dalam suasana yang amat selesa dirumah baharu kami,” katanya ketika ditemui dirumah baharunya di Duyong, di sini, hari ini.

Terdahulu, pasangan berkenaan menerima kunci rumah baharu mereka yang disampaikan EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Mohd Noor Helmy Abd Halem dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR)Melaka Datuk Ir Ismail Abd Rahman.

Katanya, sudah pasti sambutan Aidilfitri kali ini membawa seribu makna buat dia dan keluarga apabila dapat diraikan dalam suasana lebih selesa serta ceria.

“Sebelum ini anak ada mengatakan, kawan-kawan tidak mahu datang beraya kerana keadaan rumah yang buruk, pilu hati apabila dia menyuarakan sebegitu namun akhirnya kami dihadiahkan sebuah rumah yang cukup sempurna,” katanya.

Sementara itu, Rahmad berkata, untuk tahun ini sebanyak 193 buah Rumah Prihatin diluluskan membabitkan bajet keseluruhan RM6 juta dengan pembinaan dibiaya Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

“Sehingga kini sebanyak 45 unit sudah disiapkan dan bakal diserahkan kepada penerima sebelum Aidilfitri, manakala bakinya kita jangka dapat disiapkan pada Jun nanti.

“Rumah Prihatin ini terbahagi kepada dua kategori iaitu RM30,000 untuk dua bilik manakala RM37,500 untuk tiga bilik tidur.

“Namun begitu harga ini akan dilihat kembali dan akan dinaikkan kerana pada masa sekarang ini bajet itu dilihat sudah tidak sesuai. Mungkin akan dinaikkan antara RM45,000 hingga RM50,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

756
Kongsi :
Previous post PKRC MITC tutup hujung bulan ini
Next post Polis kenal pasti dalang insiden ratusan Rohingya lari dari depot Imigresen
Ubah saiz-+=