RUMAH SELESA, SELAMAT SINARI KEHIDUPAN 9 KELUARGA DI TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TELOK MAS 2 Ogos – Seramai sembilan keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas bakal menikmati kediaman lebih selesa dan selamat menerusi Program Melaka Rumahku yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM350,000 sepanjang tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, keseluruhan kos pelaksanaan projek berkenaan ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Katanya, daripada sembilan projek berkenaan, empat membabitkan pembinaan rumah baharu manakala lima lagi kerja baik pulih rumah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) LPM.

“DUN Telok Mas merekodkan antara kawasan menerima jumlah kelulusan pembinaan rumah baharu tertinggi oleh LPM berikutan komitmen wakil rakyatnya yang sentiasa membawa isu perumahan penduduk untuk perhatian Kerajaan Negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Program Melaka Rumahku (Bina Baharu) sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Telok Mas yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kampung Jawa, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Dalam pada itu, Rais berkata, pelaksanaan Program Melaka Rumahku terus diperkukuh menerusi siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang menjadi platform Kerajaan Negeri mengenal pasti dan menyelesaikan isu rakyat secara terus di setiap DUN.

Katanya, menerusi pendekatan turun padang itu, Ketua Menteri bersama barisan Exco serta agensi berkaitan dapat melihat sendiri keperluan penduduk, termasuk mereka yang berdepan masalah kediaman daif atau tidak lagi sesuai didiami.

“Pastinya di pihak Kerajaan Negeri, kita mahu memastikan setiap rakyat berpeluang menghuni kediaman yang selesa, selamat dan lebih berkualiti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post KASIH SAYANG TOK RAUF BUAT ANAK ISTIMEWA DUYONGKITA
Next post TOKONG, PERSATUAN PENGANUT DUYONG RASAI NIKMAT MELAKA SAYANG RAKYAT