Rumah Terbuka Aidilfitri 28 DUN medan promosi TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TELOK MAS 20 April – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berupaya menjadi nilai tambah dalam mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, selain sebagai wadah pertemuan dan memperkukuh perpaduan rakyat, penganjuran itu mampu membawa peningkatan kemasukan pelancong ke negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, penganjuran rumah terbuka merupakan antara tarikan pelancongan di Melaka berikutan ia secara tidak langsung menonjolkan keunikan budaya di negeri ini, termasuklah kepelbagaian makanan tradisi.

“Sambutan seperti ini telah banyak menarik lebih ramai pengunjung dan sambutan baik daripada masyarakat berbilang kaum, termasuk pelancong dan pengunjung ke Negeri Melaka.

“Semestinya perkara ini menjadi asas kita (Kerajaan Negeri) memastikan sambutan TMM2024 kali ini berjaya dengan promosi yang kita laksanakan sehingga ke peringkat DUN supaya sasaran 15 hingga 18 juta kemasukan pengunjung dan pelancong dapat dicapai tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Telok Mas di padang Taman Seri Telok Mas, di sini, malam tadi.

Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, serta tetamu kehormat lain.

Tambah Abdul Razak, bagi mempromosi penganjuran rumah terbuka itu, pelbagai medium telah digunakan antaranya hebahan di media sosial serta hebahan secara bergerak bagi menarik kehadiran orang ramai serta pengunjung.

Sambutan itu dibanjiri kira-kira 12,000 pengunjung yang disajikan dengan lebih 20 juadah tradisional, selain dihiburkan dengan persembahan artis tempatan, Nabila Razali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

657
Kongsi :
Previous post Capaian internet sekolah di Melaka memuaskan
Next post MPAG ceriakan suasana malam di Alor Gajah
Ubah saiz-+=