Capaian internet sekolah di Melaka memuaskan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

ASAHAN 20 April – Kadar capaian internet semua sekolah di Melaka termasuk kawasan luar bandar berada pada tahap memuaskan sejak sesi persekolahan dibuka pada bulan lepas.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, walaupun terdapat beberapa masalah meskipun kemudahan optik Point of Present (POP) telah diwujudkan di lokasi berhampiran sekolah, namun perkara itu akan diatasi dari semasa ke semasa.

Jelas beliau, ia bagi memudahkan guru dan pelajar mendapatkan akses internet yang lebih lancar sekali gus memudahkan proses pembelajaran.

“Mengenai PoP ini kita masih lagi menunggu Kementerian Kewangan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk membina menara dalam kawasan sekolah.

“Selagi tidak selesai perjanjian atau isu yang mereka hadapi, selagi itulah PoP ini tidak boleh sampai kepada pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan bersama UMNO Bahagian Alor Gajah di Dataran Asahan di sini, semalam.

Turut hadir majlis itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, pihak sekolah juga boleh mengambil inisiatif dengan mendapatkan peruntukan daripada Ahli Parlimen kawasan masing-masing atau mengadakan program sendiri bagi menambah baik perkhidmatan internet di sekolah mereka.

“Kerajaan Negeri sentiasa menambah baik perkhidmatan ini di sekolah, kita mahu semua masalah berkaitan capaian internet di sekolah terutama kawasan luar bandar diselesaikan menjelang 2026,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fairul Nizam berkata Persidangan Antarabangsa dan Expo Smart Melaka (SMIX) akan diadakan pada Oktober depan.

“Perbincangan awal sudah kita laksanakan dan sekarang kita dalam proses membuat keputusan tempat penganjuran.

“Saya mengalu-alukan semua agensi dan syarikat yang ingin turut serta expo kita tahun ini dan penganjurannya akan diuruskan oleh Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

88
Kongsi :
Previous post Melaka wujudkan Perkampungan Pelancongan Jawa pertama negara
Next post Rumah Terbuka Aidilfitri 28 DUN medan promosi TMM2024
Ubah saiz-+=