Melaka wujudkan Perkampungan Pelancongan Jawa pertama negara

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER MOLEK 20 April – Sektor pelancongan di Melaka akan terus menjadi tumpuan apabila sebuah Perkampungan Pelancongan Jawa bakal diwujudkan di Kampung Paya Dalam, di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus bakal menjadi perkampungan pelancongan pertama di Malaysia berasaskan komuniti Jawa.

Jelas beliau, perkara itu telah diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang mana ia dijangka akan direalisasikan sebelum penghujung tahun ini.

“Kerajaan Negeri bersetuju mengangkat kampung ini sebagai Perkampungan Pelancongan Jawa pertama di Malaysia memandangkan terdapat kira-kira 10,000 masyarakat jawa di kawasan ini.

“Dengan adanya perkampungan ini, kita akan memperkenalkan seni, budaya, makanan dan gaya hidup mereka, selain satu tapak juga telah dikenal pasti bagi membangunkan Kompleks Warisan Jawa Negeri Melaka.

“Secara tidak langsung, ini akan menjadi satu lagi daya tarikan baharu bagi sektor pelancongan Negeri Melaka ralam menggamit lebih ramai pelancong dan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 anjuran Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam (PERWAJA) di Bangunan PERWAJA, Kampung Tengah Paya Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, apabila direalisasikan kelak, tarikan pelancongan baharu ini akan membawa limpahan ekonomi lebih besar kepada penduduk kampung.

“Kepada penduduk Kampung Paya Dalam dan kawasan sekitarnya, bersedialah untuk memperkenalkan seni, budaya, kehidupan, makanan dan kraftangan kepada pelancong yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

640
Kongsi :
Previous post Panggung Bangsawan beri nilai tambah pelancongan Melaka – MCORP
Next post Capaian internet sekolah di Melaka memuaskan
Ubah saiz-+=