Panggung Bangsawan beri nilai tambah pelancongan Melaka – MCORP

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 April – Panggung Bangsawan yang akan dibuka semula kepada orang ramai bakal menjadi antara produk pelancongan utama sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, antara objektif mengaktifkan kembali panggung tersebut adalah bagi memberi nilai tambah dalam menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan utama pelancong dan pengunjung.

Katanya, pelbagai persembahan menarik menanti pengunjung berdasarkan takwim program yang akan diuruskan oleh anak syarikat MCORP, iaitu MCORP Corporate Services (MCS).

“Difahamkan, MCS telah merangka takwim pelbagai program, acara dan persembahan membabitkan kebudayaan, tradisi serta pelbagai lagi sepanjang tahun ini.

“Di sini kita akan ada persembahan dan pertunjukan dalam bentuk harian dan mingguan, selain teater pendek serta konsert.

“Diharapkan dengan pengaktifan semula Panggung Bangsawan ini, ia dapat memperkasakan sektor pelancongan negeri dengan menarik lebih ramai pelancong untuk mengikuti persembahan di sini dan menarik mereka untuk lebih lama menginap di Melaka,” katanya.

Photo1713469863
KETUA Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada sesi lawatan tapak dan pemeriksaan penuh panggung terbabit yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi MCORP Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Untuk rekod, kerja-kerja menaik taraf panggung berkenaan telah dipertanggungjawabkan kepada MCORP dengan kos berjumlah RM900,000 yang mana kerja-kerja penambahbaikan telah bermula pada Disember tahun lalu.

Panggung tertua Melaka yang mampu memuatkan seramai 400 orang pada satu-satu masa itu dijangka bakal dibuka pada penghujung bulan ini, manakala pembukaan semula secara besar-besaran ialah pada 6 Mei depan yang akan disempurnakan Ketua Menteri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Kongsi :
Previous post Bas percuma bawa penduduk ke Rumah Terbuka Aidilfitri Asahan
Next post Melaka wujudkan Perkampungan Pelancongan Jawa pertama negara
Ubah saiz-+=