Rumah Terbuka Aidilfitri ‘merakyatkan’ Kem Terendak

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SUNGAI UDANG 20 Mei – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang julung kali diadakan di dalam Kem Terendak mampu ‘merakyatkan’ orang awam dengan wira pertahanan negara itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, majlis itu secara tidak langsung mengeratkan silaturahim di antara rakyat, pemimpin dan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada masa sama, katanya, ia juga membantu orang awam memahami disiplin yang ditunjukkan warga ATM sebagai antara petugas barisan hadapan negara.

“Sebenarnya, kita memang merancang sejak awal lagi untuk mengadakan majlis ini (Rumah Terbuka Aidilfitri) di dalam Kem Terendak bagi menambah kemeriahan suasana apabila rakyat dan tentera dapat meraikan secara bersama.

“Kebersamaan yang ditunjukkan ini sekali gus dapat menjalin silaturahim dan membentuk keharmonian di antara semua pihak, termasuk pemimpin setempat di DUN ini.

“Saya amat berterima kasih kepada Penyelaras DUN Sungai Udang dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) yang bersama-sama menjayakan majlis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka DUN Sungai Udang di Dewan Serbaguna Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Pengerusi Japerun Sungai Udang Datuk Rais Yasin dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) Mejar Jeneral Rashidin Hashimi Ab Rashid.

Majlis yang bermula 11 pagi hingga 3 petang itu dihadiri lebih 5,000 pengunjung yang merupakan warga kerja Kem Terendak dan orang awam.

Ia turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Selain dijamu dengan pelbagai juadah, tetamu juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian yang dibawa khas untuk majlis tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1986
Kongsi :
Previous post Melaka bakal terima pelaburan RM3.5 bilion dari China – KM
Next post Tarikh keputusan SPM 2022, tunggu pengumuman KPM – Fadhlina
Ubah saiz-+=