Salur aduan jika ada peniaga jual makanan tidak bersih

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 28 Julai – Orang ramai diminta menjadi mata dan telinga Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dengan menyalurkan maklumat mengenai premis mengabaikan aspek kebersihan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, contoh maklumat boleh disalurkan kepada jabatan kesihatan adalah seperti makanan dijual melepasi tarikh luput, bungkusan rosak serta kebersihan premis yang kurang memuaskan.

Menurutnya, aduan boleh disalurkan secara terus kepada Pejabat Kesihatan Daerah, menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan imbasan kod QR pada laman Facebook SAFE FOOD BKMM Melaka.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sentiasa cakna dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Pelbagai strategi penguatkuasaan undang-undang standard makanan dan kebersihan telah dilaksanakan. Namun kami tetap meminta semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan dalam hal keselamatan makanan ini.

“Selain itu, jabatan kesihatan mengadakan pelbagai promosi kesihatan termasuk di media sosial, menerusi pameran, hebahan di radio dan televisyen selain penganjuran ‘treasure hunt’ berkaitan keselamatan makanan dengan objektif utama memastikan orang awam memahami kepentingan keselamatan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Melaka di Taman Botanikal Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hee Sem berkata, sambutan bertemakan ‘Food Standards Save Lives’ itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan keselamatan makanan selain melindungi kesihatan pengguna di peringkat global.

Selain itu Hee Sem turut mengingatkan pengguna, khususnya di Negeri Melaka agar sentiasa mengambil langkah berhati-hati apabila memilih makanan dan premis makanan di luar.

“Amalkan konsep ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ dalam kehidupan seharian kita supaya dapat mengurangkan risiko keracunan makanan.

“Bagi peniaga atau pengendali makanan pula, mereka digalakkan untuk mengamalkan pengendalian makanan yang baik serta menitikberatkan aspek kebersihan.

“Manakala pihak industri perlu mematuhi standard makanan bagi memastikan pengguna mendapat makanan yang selamat seperti yang ditetapkan dalam standard makanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1798
Kongsi :
Previous post Menggigil lihat bumbung diterbangkan ribut
Next post Dasar gaji progresif dibentang ke MTEN 7 Ogos
Ubah saiz-+=