Salur sumbangan kepada Palestin menerusi dua tabung dilancar kerajaan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER MOLEK 4 November – Orang ramai yang berhasrat menyalurkan sumbangan kepada Palestin dinasihatkan menyumbang kepada dua tabung yang dilancarkan kerajaan, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bagi mengelakkan sebarang isu ketirisan daripada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Jelas beliau, dua tabung berkenaan adalah Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Tabung Amanah Palestin.

“Kita galakkan orang ramai untuk menyumbang kepada tabung yang benar sahih iaitu Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dikelolakan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Tabung Amanah Palestin di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutup Program Ziarah Kasih Rahmah 2023 (Zikir ’23) Peringkat Zon Selatan sempena Sambutan Bulan Wakaf Melaka di Masjid As-Salimin, Kandang, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im turut memaklumkan Malaysia telah menghantar sumbangan yang pertama berbentuk makanan, pakaian dan lain-lain ke Mesir, pada Jumaat.

“Misi bantuan pertama negara telah dihantar menerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Global Peace Mission (GPM) yang menyelaras penghantaran sumbangan berkenaan.

“Sumbangan terbabit merupakan hasil daripada orang ramai yang disalurkan kepada dua tabung yang dilancarkan oleh kerajaan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1282
Kongsi :
Previous post 200 anak muda berkonvoi tanda solidariti untuk Palestin
Next post Cubaan 30 PATI menyusup ‘laluan tikus’ gagal
Ubah saiz-+=