Sorting by

×

SAMB dan Konsortium Nusa Baiduri bangunkan ladang solar terapung

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

DUBAI, 15 Mac – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Konsortium Nusa Baiduri menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembangunan ladang solar terapung di negeri Melaka.

Kerjasama itu juga adalah salah satu usaha menyokong hasrat Kerajaan Negeri Melaka ke arah Bandar Teknologi Hijau dan Sifar Karbon 2030.

Pembangunan ladang solar terapung dengan kapasiti 150 megawatt di Empangan Durian Tunggal, itu dijangka membabitkan kos RM600 juta secara berfasa selama 21 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Abd Rashid Ab Rahman berkata, kajian seperti Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Laporan Kesan Kualiti Air Empangan, Laporan Keselamatan dan data lain berkaitan perlu diambil kira sebelum projek dilaksanakan.

Abd Rashid berkata, kajian itu penting dalam memastikan pembangunan dirancang tidak menjejaskan kualiti air yang akan disalurkan kepada penduduk negeri Melaka.

“Jika kajian ini positif kita akan laksanakan pembangunan ladang solar terapung. Pembangunan ini akan mengurangkan kos operasi tenaga elektrik dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana kita menggunakan tenaga solar.

“Ada 11 loji rawatan air beroperasi di negeri ini, perbelanjaan untuk tenaga elektrik meningkat setiap tahun. Lebihan tenaga solar ini kita dapat salurkan juga kepada pemain-pemain industri yang lain di negeri Melaka.

“Kita boleh jual tenaga ini kepada pemain industri lain di negeri Melaka pada harga yang lebih kompetitif,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SAMB dan Konsortium Nusa Baiduri di Pavilion Malaysia bersempena Melaka Week di Expo 2020 Dubai, semalam.

Majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari dan EXCO kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pavilion Malaysia,  semalam, bersempena Melaka Week di Expo 2020 Dubai.

Beliau berkata, teknologi sama sudah digunakan di China dan beberapa negara ASEAN lain seperti Singapura dan Vietnam yang memanfaat kawasan takungan air untuk menjana tenaga solar.

Mengulas lanjut Abd Rashid yakin teknologi itu tidak menjejaskan kualiti air, namun mengakui kajian lanjut perlu dilakukan sebelum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Sebagai permulaan kita akan dilaksanakan di Empangan Durian Tunggal yang menjadi takungan air utama bagi negeri Melaka, kalau berjaya, kita akan buat di empangan Jus.

“Memang dasar Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga menggalakkan perkara ini, jadi kita ambil peluang untuk optimumkan aset air sedia ada.

“Boleh menjana pendapatan baharu, kekal kompetitif daripada segi kos pembuatan air bersih untuk disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1575
Kongsi :
Previous post UK: semua sekatan perjalanan COVID-19 tamat hujung minggu ini
Next post COVID: Kes harian terus menurun, catat 22,030 semalam
Ubah saiz-+=