SAMB peruntuk RM131 juta ganti paip usang

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

SERI NEGERI 2 Ogos – Kerajaan Negeri menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan memperuntukkan RM131 juta bagi penggantian paip usang di seluruh Melaka untuk tempoh 2024 hingga 2029.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, peruntukan itu merupakan perancangan jangka panjang membabitkan penggantian paip sepanjang 443 kilometer (km) di seluruh Melaka.

Kata beliau, bagi perancangan jangka pendek, SAMB juga akan membuat penyelenggaraan secara berkala di kawasan-kawasan terlibat.

“Kesemua ini dilakukan untuk memastikan masalah paip bocor dan pecah akan terus dikurangkan dari tahun ke tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai penggantian paip di Kuala Linggi pada hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Jelas Hameed, paip bagi seluruh Negeri Melaka ialah sepanjang 5,605km dan daripada jumlah itu, 1,169km daripadanya merupakan paip usang jenis asbestos yang sudah berusia lebih 40 tahun.

Untuk menggantikan keseluruhan paip, beliau berkata, ia memerlukan perbelanjaan yang besar iaitu menjangkau RM700 juta.

Menurutnya, ia bukan sahaja membabitkan penggantian paip, bahkan merangkumi pengambilan tanah, turapan jalan dan utiliti lain yang terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

806
Kongsi :
Previous post Lima individu terima sijil warganegara- Exco
Next post Cadang peruntukan khas negeri pernah anjur SUKMA – Exco
Ubah saiz-+=