‘Sambut Aidiladha secara sederhana’ – KM

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 19 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyeru umat Islam di negeri ini meraikan Hari Raya Aidiladha secara sederhana sebagaimana tuntutan syariat.

Beliau berkata, umat Islam juga perlu menghayati erti pengorbanan di sebalik Aidiladha pada kali ini tanpa mengenal erti putus asa.

“Aidiladha adalah hari kebesaran Islam yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian yang besar.

“Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam dan anakanda Baginda, Nabi Ismail Alaihissalam menjadi iktibar yang perlu sentiasa dihayati seluruh umat Islam dalam kita menghadapi cabaran kehidupan seharian.

“Marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, seluruh umat Islam di Negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya akan menyambut Hari Raya Aidiladha esok, 20 Julai 2021 bersamaan 10 Zulhijjah 1442 Hijriyyah, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di facebook rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman bersama isteri, Datin Seri Utama Munira serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di mana jua berada.

“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga wabak COVID-19 segera berakhir. Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha!,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post 356 lokasi sembelihan korban diluluskan
Next post Solat sunat Aidiladha: Umat Islam dinasihatkan patuh SOP- TPM
Ubah saiz-+=