Samseng upahan ah long diberkas

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 26 Mac – Dibayar Ah Long bagi melakukan khianat dengan melempar bom molotov cocktail dan cat ke kediaman dan harta benda mangsa.

Itu modus operandi empat lelaki yang diberkas polis dalam serbuan berasingan bermula 3 petang pada 10 Mac lalu di Batu Berendam dan di Taman Merdeka dekat sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, keempat-empat suspek melakukan jenayah itu dengan tujuan menakutkan beberapa individu yang kononnya ada meminjam wang daripada Ah Long dengan upah RM200 hingga RM300 bagi setiap perbuatan khianat itu.

Katanya, siasatan kes itu bermula selepas pihaknya menerima laporan awal pada 17 Januari lalu daripada seorang lelaki berusia 27 tahun mengatakan rumahnya dibakar dengan satu botol kaca arak berwarna hijau mengandungi minyak yang diikat dengan kain terbakar.

“Siasatan polis mendapati mangsa tidak pernah memijam wang daripada Ah Long atau terbabit dengan jenayah dan selepas kejadian itu, berlaku tiga lagi kejadian dengan modus operandi sama di daerah Melaka Tengah.

“Bertindak atas maklumat risikan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kemudian menangkap seorang lelaki di tempat letak kereta di sebuah pasaraya pada 10 Mac lalu kira-kira jam 3 petang di Batu Berendam.

“Susulan tangkapan itu beberapa siri serbuan dijalankan dan berjaya menahan tiga lagi suspek di sekitar Taman Merdeka. Semua suspek ditahan berusia antara 38 hingga 60 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini.

Abdul Majid berkata, siasatan lanjut dijalankan mendapati kumpulan itu terbabit dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long dan bergiat aktif sejak 2019 dengan menyasarkan rumah peminjam yang tidak membayar hutang.

“Selain rumah peminjam, suspek turut menyasarkan rumah jiran- jiran yang tiada kaitan untuk mencetuskan kegusaran serta memalukan mangsa.

“Difahamkan mereka mengambil upah daripada Ah Long antara RM200 hingga RM300 bagi perbuatan simbah cat dan RM500 bagi perbuatan khianat dengan api,” katanya.

Katanya, kumpulan itu hanya berinteraksi secara maya dengan Ah Long termasuk menerima tugas dan arahan sebelum suspek melakukan perbuatan khianat.

“Uniknya, modus operandi kumpulan ini adalah mereka dapat tugasan daripada Facebook dan perhubungan antara Ah Long yang berada di luar Melaka dengan suspek hanya secara maya, bukan pertemuan secara fizikal.

“Dengan penangkapan kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan empat kes khianat api dan 17 simbah cat selain turut merampas sebuah kereta, 14 botol minuman keras, empat nombor pendaftaran kenderaan serta lima telefon bimbit pelbagai jenis,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan (KK) dan 427 KK.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1136
Kongsi :
Previous post Vaksin COVID-19 AstraZeneca tidak mengandungi produk berasal dari haiwan
Next post Muhyiddin ucap tahniah atas kemenangan filem DaYAK DI WFC Singapore 2021
Ubah saiz-+=