Vaksin COVID-19 AstraZeneca tidak mengandungi produk berasal dari haiwan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PUTRAJAYA 26 Mac – Vaksin COVID-19 AstraZeneca tidak mengandungi sebarang produk yang berasal daripada haiwan atau bahan terlarang, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata AstraZeneca telah membekalkan kenyataan bagi mengisytiharkan bahawa AZD1222 tidak mengandungi sebarang produk berasal daripada haiwan; dan semua ‘eksipien’ berasal dari sayur-sayuran.

“AZD1222 tidak mengandungi sebarang bahan terlarang seperti: bahan yang berasal dari babi, gelatin dari sumber haiwan babi, gliserin yang berasal dari haiwan, asid stearic, laktosa, produk yang berasal dari kerang atau ikan yang tidak bersisik, pati gandum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut Majlis Ulama Muslim di Indonesia dalam paparan di laman web mereka memberitahu bahawa vaksin COVID-19 AstraZeneca adalah haram kerana proses pembuatannya menggunakan ‘trypsin’ dari pankreas babi.

AstraZeneca dalam hujah balasnya berkata vaksin itu tidak mengandungi bahan yang berasal dari babi.

Dr Adham berkata trypsin babi hanya digunakan semasa pembinaan saluran sel T-REx-293 dan trypsin itu tidak bersentuhan langsung dengan bank sel sebenarnya, yang digunakan dalam proses pembuatan, tetapi digunakan jauh di hulu sel hos, dan oleh itu tidak dianggap terdapat dalam Bahan dan Produk Ubat.

“Walaupun begitu, AstraZeneca perlu membekalkan hasil ujian bagi mengesahkan bahawa tidak ada sisa bahan babi dalam produk akhir sebagai salah satu syarat pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan komited memastikan kualiti, keselamatan serta keberkesanan vaksin, dan orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada media rasmi dan pengumuman oleh pihak kementerian daripada sumber yang boleh dipercayai.

Rabu lalu Dr Adham berkata vaksin AstraZeneca COVID-19 selamat untuk penggunaan di Malaysia.

Beliau berkata data keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca yang diperoleh daripada kajian klinikal sehingga 4 November lalu yang melibatkan 12,000 sukarela, menunjukkan bahawa tiada kesan sampingan serius dilaporkan.

Vsksin AstraZeneca diluluskan untuk pendaftaran oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post Bekas pekerja syarikat telekomunikasi mengaku bersalah terima suapan RM15,000
Next post Samseng upahan ah long diberkas
Ubah saiz-+=