‘Sang bedal’ sangkut di jaring nelayan Pantai Siring

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

SERKAM 4 Jun – Nelayan di Pantai Siring, di sini, gempar apabila jaring yang dilabuh untuk menangkap ikan tersangkut seekor buaya tembaga dalam kejadian lewat petang semalam.

Buaya dalam anggaran panjang 12 kaki (3.7 meter) itu bagaimanapun berjaya diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Melaka dalam operasi menyelamat yang dilakukan malam tadi.

Pengarah PERHILITAN Melaka, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam kira-kira jam 6 petang yang memaklumkan terdapat buaya tersangkut di jaring mereka.

Katanya, sejurus menerima panggilan, seramai enam anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan reptilia itu.

ANGGOTA PERHILITAN mengeluarkan buaya yang tersangkut di jaring.

 

“Operasi dijalankan bermula jam 6 petang selepas menerima aduan. Kita mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyelamatkan buaya berkenaan.

“Operasi ini turut dibantu pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

“Operasi itu tamat kira-kira jam 8 malam selepas buaya berkenaan selamat dibawa ke darat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, katanya buaya dari spesies Crocodylus porosus itu telah dibawa ke Paya Indah Wetlands, Dengkil, Selangor untuk rawatan dan tindakan selanjutnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2326
Kongsi :
Previous post Operasi besar-besaran pastikan PATI divaksin – Hamzah
Next post Amalkan sifat toleransi lancarkan pemeriksaan SJR
Ubah saiz-+=