Sarang lebah sebesar bola takraw depan rumah

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

REMBIA 13 Feb – Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila menjumpai sarang lebah sebesar bola takraw tergantung di hadapan rumahnya di Taman Bukit Rembia, semalam.

M. Bama, 44, berkata, ketika kejadian, dia bersama anaknya berusia tiga tahun sedang membersihkan hadapan rumahnya kira-kira pukul 5.15 petang.

Menurutnya, dia terkejut apabila menjumpai sarang lebah tersebut yang tersorok pada salah sebuah pokok bunga tanamannya sebelum bertindak membawa anaknya keluar dari rumah.

“Pada ketika itu, saya hanya memikirkan keselamatan anak saya yang masih kecil, tidak dapat saya bayangkan jika saya tidak nampak sarang lebah tersebut, sudah pasti ia akan menyerang anak saya.

“Ini kerana sebelum itu, anak sudah terlebih dahulu menghampiri pokok bunga tersebut dan bermain-main di sekitarnya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Dalam keadaan cemas, menurut Mala, dia menghubungi talian kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan bantuan.

“Kira-kira 30 minit selepas itu, bantuan APM tiba dan segera memindahkan sarang lebah tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini, ” katanya.

ANGGOTA APM berjaya memindahkan sarang lebah yang dijumpai di salah sebuah pokok bunga di hadapan sebuah rumah di Taman Bukit Rembia semalam. Foto APM Alor Gajah

Bama yang sudah menetap di situ sejak lebih 10 tahun lalu berkata, dia mengesyaki lebah tersebut datang dari rumah berdekatan yang sebelum itu menjadi tempat lebah bersarang.

“Saya rasa sudah seminggu lebah tersebut membuat sarang di rumah saya kerana minggu lepas jiran ada memotong pokok di hadapan rumahnya yang menjadi tempat lebah bersarang,” katanya.

Sementara itu jurucakap APM ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.27 petang.

Katanya, seramai tiga anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa kra-kira 40 minit bagi memindahkan sarang lebah tersebut ke tempat yang jauh dari kediaman penduduk.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2210
Kongsi :
Previous post Lebih 130,000 kanak-kanak di Malaysia terima dos pertama vaksin COVID-19
Next post Bashar dan Basheer penyeri Pantai Puteri
Ubah saiz-+=