Sasar KDNK Melaka meningkat sehingga lima peratus tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 13 Mac – Kerajaan Negeri menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Negeri Melaka meningkat kepada empat hingga lima peratus pada tahun 2023 sejajar dengan unjuran KDNK negara.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata, sasaran peningkatan itu bagi memastikan Negeri Melaka dapat mencapai pelaburan lebih RM5 bililon sebagaimana disasarkan pada tahun ini.

“Saya menyeru semua pihak dapat bersama memacu pembangunan ekonomi negeri dengan meningkatkan produktiviti, tadbir urus dan tata kelola serta memastikan limpahan ekonomi secara inklusif khususnya dalam kita mengharungi Pasca COVID-19.

“Petunjuk ekonomi dalam KDNK Melaka pada tahun 2021 merekodkan sebanyak RM41.8 bilion dengan pendapatan per kapita sebanyak RM44,610 (dengan) sektor perkhidmatan merupakan penyumbang tertinggi negeri iaitu sebanyak RM20.4 bilion atau 48.8 peratus.

“Manakala sektor pembuatan penyumbang kedua tertinggi iaitu sebanyak RM15.8 bilion atau 37.9 peratus, diikuti sektor pertanian sebanyak RM4.6 bilion (10.9 peratus) dan sektor pembinaan RM897 juta.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri menyasarkan kadar keluaran KDNK bagi Melaka akan meningkat kira-kira empat hingga lima peratus pada tahun 2023 sejajar dengan unjuran KDNK negara sekali gus mencapai sasaran pelaburan lebih RM5 bilion pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Tun Mohd Ali, Toh Puan Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker DUN Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari serta barisan Ahli-Ahli DUN Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1798
Kongsi :
Previous post Kenal pasti kawasan perindustrian baharu
Next post TYT saran lebih ramai pengusaha sertai Payung Rahmah
Ubah saiz-+=