Sorting by

×

SASAR LAHIR PEMIMPIN BELIA HOLISTIK – ITP

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 8 Mei – Institut Tun Perak (ITP) akan menganjurkan Program Pembangunan Pemimpin Pelapis secara serentak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Lendu pada 28 Mei 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif ITP Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee berkata program itu dilaksanakan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di kedua-dua DUN tersebut.

Katanya, antara objektif program itu adalah membentuk generasi pemimpin muda yang berwibawa, berintegriti dan berkeupayaan holistik selain memberi kefahaman mengenai perlembagaan serta prinsip Rukun Negara.

“Program ini merupakan inisiatif baharu yang dirangka khusus bagi menyemarakkan semangat kepimpinan dalam kalangan generasi muda setempat, khususnya mereka yang berada di peringkat persekolahan.

“Matlamat utama program ini adalah melahirkan barisan pemimpin muda yang mampu memacu pembangunan komuniti secara mampan, serta menjadi ejen perubahan yang aktif di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata program julung kali diadakan ini menyasarkan seramai 450 peserta belia tempatan berusia antara 16 hingga 18 tahun dari kedua-dua DUN dengan penglibatan 150 peserta dari Sungai Udang dan 300 peserta dari Lendu.

“Diharapkan program ini dapat memupuk semangat kepimpinan berteraskan nilai-nilai murni dalam kalangan belia tempatan. Ia juga memberi penekanan kepada pembentukan jati diri.

“Pemilihan peserta dibuat melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Pejabat Pendidikan Daerah dengan mengambil kira penyertaan pelajar daripada pelbagai latar belakang kaum serta sekolah.

“Kita mahu memastikan penyertaan yang inklusif dan mewakili kepelbagaian masyarakat, agar nilai kepimpinan yang diterapkan dalam program ini benar-benar bersifat menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya.

Ujarnya lagi sebagai penghargaan dan motivasi, setiap peserta yang menamatkan program ini akan diberikan sijil penyertaan rasmi yang dikeluarkan oleh ITP.

“Penganjuran program ini turut dilihat sebagai usaha strategik untuk membina rangkaian pemimpin muda di peringkat komuniti yang berpengetahuan dalam isu semasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

390
Kongsi :
Previous post MAIM TAWAR RUMAH SEWA MURAH UNTUK ASNAF, B40
Next post GUNA PELUANG WRUR SELESAI MASALAH – SULAIMAN