‘Saya bertengkar dengan peniaga kerana tak mahu mereka rugi’- Norhizam

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PERINGGIT 16 April. – “Saya bertengkar dengan peniaga kerana tak mahu pasar Ramadan ditutup kerajaan negeri sekali gus menyebabkan mereka rugi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Beliau berkata tindakannya ‘memarahi’ peniaga di Pasar Ramadan Peringgit, dalam satu video yang tular sejak petang kelmarin, supaya mereka patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Saya mengunjungi pasar Ramadan berkenaan kira-kira jam 6 petang untuk melihat SOP yang dilaksanakan penganjur di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, ada segelintir peniaga terutama yang berniaga di hujung pasar berkenaan, yang minta supaya kerajaan benarkan dua jalan masuk dan dua jalan keluar dibuka di pasar Ramadan berkenaan sekali gus melanggar SOP yang menetapkan hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibuka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Norhizam berkata beliau bagaimanapun tidak akur dengan kehendak segelintir peniaga terbabit kerana sedar jika dituruti, ia akan mengundang masalah yang lebih besar.

“Pasar Ramadan berkenaan menggunakan sistem kupon di mana kita boleh mengehadkan jumlah pengunjung, namun jika dibuka dua jalan masuk akan menyebabkan keadaan tersebut tidak dapat dipantau dengan rapi dan menyebabkan keadaan luar kawalan.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka bersetuju hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibenarkan,” katanya.

Katanya sebahagian besar peniaga lain serta pengunjung juga faham dengan SOP yang ditetapkan kerajaan dalam usaha bersama mencegah penularan wabak COVID-19 yang masih berlaku ketika ini.

“Kerajaan negeri terpaksa mengetatkan SOP demi memastikan tiada kejadian tidak diingini khususnya penularan COVID-19 dan untuk melindungi kepentingan peniaga sendiri juga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

331
Kongsi :
Previous post JSJK kesan penipuan guna laman sesawang palsu Maybank2u
Next post PKP: Polis Kelantan minta orang ramai guna surat kebenaran baharu
Ubah saiz-+=