“Saya tak melobi” – Ahmad Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

SERKAM 26 Dis. – Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah menafikan kenyataan diterbitkan sebuah akhbar semalam mengaitkan beliau melobi bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI) berkata, laporan yang disiarkan akhbar tempatan semalam menimbulkan pelbagai pelbagai andaian dan persepsi negatif terhadap beliau sekali gus mendakwa sebuah artikel yang memberi gambaran jahat dan tidak bertanggungjawab sehingga mendakwa telah memfitnahnya.

“Merujuk kepada artikel tersebut kenyataan individu itu yang mendakwa saya berjumpa beliau untuk mendapatkan sokongan penuh untuk menjadi calon Ahli Parlimen adalah tidak benar.

“Saya tidak pernah melobi untuk menjadi calon (PRU) semula, malah tidak pernah berjumpa, apatah lagi meminta sokongan kepada seorang individu yang bergelar wakil rakyat itu untuk dinamakan semula sebagai calon bagi kerusi Parlimen Jasin kerana ini juga menyalahi etika parti,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di kediamannya di Umbai, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad.

Ahmad yang juga dalam tempoh enam penggal menyandang sebagai wakil berkata, beliau sebagai ketua bahagian tidak mempunya kuasa untuk menentukan calon PRU dan segala keputusan itu ditentukan sendiri oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri dan pucuk pimpinan parti.

Malah menurutnya, beliau turut meluahkan hasrat untuk berundur kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memandangkan lanskap politik yang berubah dan atas faktor kesihatan.

“Landskap politik negara kini telah berubah malah keadaan kesihatan saya kini tidak mengizinkan dan perlu memberi peluang kepada muka baharu untuk bertanding pada PRU akan datang, janganlah dikeruhkan lagi keadaan ini.

“Akhbar terbabit sepatutnya tidak perlu mengheret saya dalam laporan berita palsu seperti ini dengan memburukkan nama saya dan keluarga yang seolah olah saya begitu murah sekali,” tegasnya.

Menurut beliau, hasil perbincangan bersama keluarga dan rakannya pihaknya menuntut permohonan maaf secara terbuka dari akhbar terbabit dalam tempoh seminggu selepas membuat laporan polis semalam.

“Saya menuntut permohonan maaf secara terbuka dari akhbar terbabit dan tidak teragak-agak bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap perkara ini”, katanya.

Semalam, akhbar berbahasa Melayu itu menyiarkan laporan berita bertajuk ‘Parlimen Jasin bertukar calon?

Dalam artikel tersebut Ahmad turut didakwa berjumpa dengan individu lain dan meminta namanya disenaraikan semula untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Views:

584
Kongsi :
Previous post ‘Khemah terbang’ di kubur: Pemilik video mohon maaf
Next post Bakal pengantin dikhuatiri lemas, kenduri tetap diteruskan
Ubah saiz-+=