
SEBABKAN LONGKANG TERSUMBAT, SYARIKAT PEMBINAAN DIKOMPAUN RM1,000
PENGKALAN BATU 7 Mei – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap sebuah syarikat pembinaan yang menyebabkan longkang tersumbat.
Penolong Pegawai Seni Bina MPHTJ, Rikki Mamura Amril berkata, kompaun tersebut dikeluarkan mengikut Akta 171 (69) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mengakibatkan kacau ganggu dalam anak sungai dan sebagainya.
Katanya, kompaun tersebut diberikan bersama Notis Berhenti Kerja Serta Merta mengikut Seksyen 72 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
“Notis dan kompaun telah dikeluarkan pada 3 Mei lalu yang mana pihak syarikat pembinaan berkenaan telah dimaklumkan dan kawasan itu ditutup selama tiga hari.
“Sepanjang tiga hari diberikan, pihak kontraktor atau syarikat tersebut perlu membersihkan debu menyebabkan kekotoran pada jalan raya dan longkang yang tersumbat.
“Pihak syarikat akur terhadap amaran dan notis diberikan, mereka juga sudah laksanakan kerja-kerja pembersihan dan tapak pembinaan dibuka semula pada 6 Mei (semalam),” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) Bil 1/2025 di sebuah tapak binaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia, Mohammad Farris Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Rikki Mamura berkata, tindakan dikenakan terhadap syarikat pembinaan berkenaan adalah berdasarkan kepada melalui aduan diterima daripada pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.