Sebut harga projek Air Panas Gadek awal tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 10 Dis. – Sebut harga bagi projek Air Panas Gadek, Alor Gajah, yang menelan belanja lebih RM17 juta dijangka dibuka awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, projek itu kini dalam proses reka bentuk dan sudah ada beberapa komponen tertentu untuk dinaikkan.

“Projek ini dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan seperti yang dijadualkan dan pengisiannya termasuk pintu gerbang, bangunan pengurusan, hotel 25 bilik serta 13 chalet.

“Malah kerajaan negeri turut mempromosikan Air Panas Gadek termasuk dalam 13 sub sektor pelancongan yang lain antaranya menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Youtube, Twitter selain turut mengadakan ‘fam trip’ bersama agen pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan G. Saminathan (DAP- Gadek) dan tambahan daripada Datuk Gue Teck (PKR- Kelbang) berhubung Projek Air Panas Gadek pada sesi hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14, sebentar tadi.

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, selain menaik taraf Air Panas Gadek beberapa kerja pembaikkan lain turut dirancang Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

“Antara pengisian dalam membelanjakan bajet itu, PKNM mencadangkan akan mengadakan longkang persepadanan atau ‘U drain’ dan kolam takungan banjir dilokasi pembinaan selain turut mencadangkan pembinaan tembok penahan konkrit halang banjir,” katanya.

Views:

1597
Kongsi :
Previous post Kes denggi di Melaka meningkat
Next post Tukar MB tiga kali sejak PRU14, cerminan kegagalan kepimpinan politik – Sultan Nazrin
Ubah saiz-+=