Sekolah di Melaka jadi PPS, tidak akan jadi pusat mengundi – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

PAYA RUMPUT 22 Oktober – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan memastikan tiada sekolah yang dijadikan pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jika sekolah tersebut dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi Negeri Datuk Rais Yasin berkata perkara itu telah dinyatakan menerusi mesyuarat bersama agensi berkaitan baru-baru ini.

“Dalam mesyuarat tempoh hari saya minta Jabatan Pendidikan Negeri untuk pastikan daripada pihak kementerian mana-mana sekolah yang jadi PPS mungkin tidak boleh dijadikan sebagai pusat pengundian.

“Kita tidak mahu nanti akan memberi masalah yang lebih besar kalau tempat PPS itu pada masa sama juga dijadiakan sebagai tempat mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Isi Minyak Motosikal Percuma Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Stesen Minyak Petronas Taman Rambai Utama, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata beliau akan memastikan mangsa yang ditempatkan di PPS selesa dan perjalanan PRU15 juga lancar.

“Saya akan memastikan perkara sedemikian tidak berlaku kerana ianya hanya akan menyebabkan kesesakan di PPS itu.

“Sebagai contoh, macam di tempat saya, Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong itu tidaklah berapa besar jadi bagaimana ia hendak dijadikan tempat mengundi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2609
Kongsi :
Previous post Jalankan amanah bantu rakyat tanpa pilih bulu
Next post Keputusan permohonan rayuan ke universiti awam pada Selasa
Ubah saiz-+=