Selepas ayam, bekalan ubat pula terjejas

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BUKIT KATIL 2 Jun – Bekalan ubat di seluruh negara termasuk negeri ini berkurangan sebanyak 50 peratus akibat peningkatan permintaan, selain kekurangan bekalan dari luar negara sejak akhir-akhir ini.

EXCO Kesihatan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh bagaimanapun memaklumkan, kekurangan bekalan itu hanya membabitkan klinik swasta dan farmasi serta tidak melibatkan klinik kesihatan atau hospital awam.

Katanya, antara ubat yang sedang mengalami kekurangan ketika ini ialah parasetamol dan beberapa jenis antibiotik.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Muhamad Akmal berkata, kerajaan negeri bakal mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan syarikat-syarikat farmasi seluruh negeri bagi mengenal pasti punca sebenar serta langkah penyelesaian isu tersebut.

“Kita jangkakan sesi libat urus itu akan diadakan pada masa terdekat, paling awal mungkin minggu hadapan.

“Ini kerana kita tidak mahu isu ayam berlaku pada ubat-ubatan sehingga menyebabkan harga naik dan membebankan orang ramai.

“Pada masa sama, saya juga meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melihat isu dengan lebih terperinci dan lebih fokus supaya isu ini dapat kita kawal sebaiknya,” katanya.

MUHAMAD Akmal ketika merasmikan Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Melaka di Bayou Lagoon Resort Melaka.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Negeri Melaka di Bayou Lagoon Resort Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rusdi Abd Rahman dan Ketua Penyelia Jururawat Negeri Melaka Suriah Rahim.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut meminta orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik ubat sehingga menjejaskan bekalan yang ada di pasaran pada ketika ini.

“Pembelian panik hanya akan mengakibatkan kekurangan ubat menjadi lebih teruk. Jadi, jangan beli ubat di luar keperluan.

“Kerajaan negeri memberi jaminan akan cuba menyelesaikan isu ini sebaiknya menerusi sesi libat urus yang mana jika berjaya, kita yakin isu ini dapat kita kawal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1616
Kongsi :
Previous post Sekat eksport ayam: “Bukan keputusan yang mudah” – KJ
Next post PT3 dimansuh, KPM perkasa pentaksiran berasaskan sekolah
Ubah saiz-+=