Selesai aduan rakyat dalam tempoh dua minggu – KM

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Aduan permasalahan rakyat di negeri ini perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu secara bertulis, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata meskipun tidak semua masalah rakyat dapat diselesaikan dengan segera, namun selepas tempoh itu pihak pengadu perlu mendapat jawapan tentang aduan mereka.

“Sebab itu kita adakan Program Hari Bertemu Rakyat (Open Day) hari ini untuk memberi peluang kepada semua rakyat Melaka bersemuka dengan pemimpin Kerajaan Negeri daripada peringkat exco sehingga agensi-agensi kerajaan terlibat.

“Rakyat datang ke sini untuk membawa segala permasalahan yang mahu diselesaikan.

“Penyelesaian ada dua, satu boleh diselesaikan dan satu tidak boleh diselesaikan, tetapi mereka tetap mendapat keputusan selepas dua minggu secara bertulis atas aduan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Jun 2023 dan Program Hari Bertemu Rakyat (Open Day) Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan dan lain-lain barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ujarnya, rakyat meletakkan harapan yang tinggi pada program hari terbuka ini agar masalah mereka dapat diselesaikan.

“Tadi saya sempat berada di kaunter bawah portfolio saya, ada rakyat Melaka yang pernah cuba berkali-kali untuk temu janji dengan wakil rakyat tetapi tidak dapat, jadi hari ini mereka boleh bertemu di sini.

“Terima kasih kepada semua agensi dan jabatan terlibat berusaha merealisasikan impian saya menjadikan Melaka ini sebuah negeri dinamik dan progresif terutama dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1294
Kongsi :
Previous post Bekas teman wanita pemain bola sepak Sabah ditahan
Next post Tiada kontroversi dalam soal penggantian Acryl Sani – Saifuddin Nasution
Ubah saiz-+=