Semoga cepat sembuh Puan Norena
PAYA RUMPUT 2 Mac – “Keadaan saya stabil, sekarang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami bengkak di bahagian dada dan patah kaki kanan,” kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar.
Norena, parah selepas kereta dipandu dirempuh sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) jam 7 pagi, semalam.
Ketika dihubungi Norena memaklumkan dia yang sebelum ini menerima rawatan awal di Hospital Melaka sudah dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta di negeri ini bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan itu.
“Ketika melalui persimpangan lampu isyarat, kereta dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun merempuh kereta mangsa wanita berusia 46 tahun yang juga pengarah sebuah agensi kerajaan di negeri ini.
“Akibat kemalangan, pekerja kilang berasal dari Negeri Sembilan cedera di kaki dan kepala manakala mangsa wanita cedera di bahagian kaki kanan,” katanya ketika dihubungi.
Raiz Mukhliz berkata kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.