Seorang kanak-kanak maut, dua parah dalam kemalangan di Gelang Patah

ISKANDAR PUTERI, 26 Okt – Seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala dua individu cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Ismail Sultan, East Ledang, Gelang Patah di sini, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata mangsa S. K. Chiara Dakhshakanya David, 9, maut akibat tersepit di bahagian tempat duduk belakang dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.

Beliau berkata setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua kereta iaitu Toyota Vios dan Toyota Avanza.

“Terdapat empat mangsa yang berada di dalam kereta Vios dan PKO bertindak mengeluarkan Chiara Dakhshakanya David yang tersepit menggunakan ‘Rescue Tools’ sebelum dia disahkan meninggal dunia.

“Dua mangsa mengalami cedera parah iaitu N. Rajendran, 45, dan pemandu Toyota Avanza Goh Rong Hao, 22, manakala, B. Patricia Puvaneswary, 45, serta S. K. Cllarissa Mathumitha David, 14, hanya cedera ringan, ” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Nazran berkata PKO turut memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan.

“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dengan menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Seterusnya, PKO membersihkan tumpahan minyak akibat daripada kemalangan tersebut dengan menggunakan habuk kayu. Setelah memastikan keadaan benar-benar selamat, anggota dan jentera bertolak balik ke balai,” katanya.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.44 malam sebelum satu jentera dari BBP Iskandar Puteri dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai kejadian itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

845
Previous post ‘Bikers Pitstop’ tarik minat geng motosikal ke Melaka
Next post PPS di Alor Gajah ditutup sepenuhnya