‘Bikers Pitstop’ tarik minat geng motosikal ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDA HILIR 26 Oktober – Dalam usaha memacu sektor pelancongan di negeri ini, ND Hotel Melaka dengan sokongan Tourism Melaka telah melancarkan Bikers Pitstop di Banda Hilir sebagai satu lagi tarikan terbaharu.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Sa’ari Basiron berkata, Bikers Pitstop yang ditempatkan di perkarangan ND Hotel Melaka itu bertujuan menarik minat geng motosikal menjadikan negeri ini sebagai destinasi persinggahan setiap kali mengadakan siri jelajah atau konvoi.

Menariknya, beliau berkata, hentian itu juga turut menyediakan ‘Bikers Corner Sticker Board’ yang mana setiap Kelab Motosikal (MC) yang berkunjung dapat meletakkan pelekat kumpulan masing-masing di bahagian yang disediakan, sekali gus menunjukkan mereka telah melengkapkan perjalanan ke negeri bersejarah ini.

“Menerusi Bikers Pitstop ini, kita berharap dapat menarik minat geng permotoran menjadikan Melaka sebagai lokasi wajib singgah setiap kali melakukan konvoi bersama kumpulan mereka.

“Inisiatif baharu ini diharap dapat memperkasa pelancongan di Melaka di samping mampu mencapai sasaran 5.6 juta pelancong tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah ND Hotel Melaka Sebastian Lim berkata, pihaknya bakal memberikan diskaun 30 peratus kepada geng motosikal menginap di hotel berkenaan sehingga hujung tahun ini.

Beliau turut berharap inisiatif itu berupaya menarik minat geng motosikal dari luar negara seperti Singapura dan Thailand untuk menjadikan Melaka destinasi persinggahan di masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2295
Kongsi :
Previous post Jangan malu mohon bantuan MAIM
Next post Seorang kanak-kanak maut, dua parah dalam kemalangan di Gelang Patah
Ubah saiz-+=