Seorang maut, dua parah bas persiaran terbakar

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ALOR GAJAH 13 Januari – Seorang maut, manakala dua lagi parah selepas sebuah bas persiaran terbakar di Kilometer 198 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa yang maut merupakan pelancong warganegara India berusia 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati bas yang membawa 28 penumpang itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Kuala Lumpur.

Katanya, setibanya di lokasi terdapat sebuah motosikal terbabas sendiri dan jatuh di lorong paling kiri sebelum diseret bas berkenaan hingga menyebabkan kebakaran.

“Penunggang motosikal bagaimanapun sempat mengelak ke kiri jalan, namun bas berkenaan terbakar.

“Terdapat tiga penumpang yang duduk di bahagian belakang telah terperangkap dan terbakar menyebabkan seorang daripadanya maut, manakala dua lagi melecur 80 peratus dan 50 peratus serta memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Selain itu, terdapat tiga lagi penumpang mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Alor Gajah manakala 23 lagi penumpang serta dua pemandu bas terselamat,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa yang maut telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Timbalan Penguasa Bomba II (KUP) Zahrul Azha Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 pagi dan seramai 21 pegawai dan anggota bersama-sama jentera dikejarkan ke lokasi.

Katanya, bas persiaran tersebut telah terbakar 100 peratus dan kebakaran dapat dikawal pada jam 4.25 pagi sebelum operasi tamat pada jam 5.54 pagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3515
Kongsi :
Previous post AKCC lapangan golf mesra alam
Next post Bangunan warna-warni cetus ‘mood’ ceria pelancong
Ubah saiz-+=