AKCC lapangan golf mesra alam
AYER KEROH 13 Januari – Ayer Keroh Country Club (AKCC), di sini, melakukan anjakan paradigma dengan memperkenalkan inisiatif mesra alam di lapangan golf itu.
Pengerusi AKCC Datuk Rahmad Mariman berkata, ia selepas kelab golf itu memperkenalkan motosikal elektrik untuk kegunaan marshal bagi sebarang urusan di padang golf.
Kata beliau, sebanyak tiga unit motosikal elektrik akan digunakan marshal, selain tambahan 105 kenderaan ‘buggy’ baharu untuk kegunaan pemain di kelab golf itu.
“Sebelum ini kita hanya menggunakan motosikal biasa menggunakan petrol, tetapi kali ini, kita menggunakan motosikal elektrik baharu yang menggunakan kuasa bateri.
“Ini adalah sebagai menyahut seruan Kerajaan Negeri dalam memperkasa inisiatif mesra alam dan menerapkan nilai-nilai hijau dalam sebarang urusan di padang golf.
“Selain itu kita turut menyediakan 105 buah ‘buggy’ baharu, termasuk beberapa ‘buggy’ istimewa yang lebih tinggi dan nampak lebih garang untuk kegunaan pemain-pemain di sini,” katanya pada majlis perasmian ringkas yang diadakan di AKCC, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, penambahbaikan yang dilakukan AKCC adalah bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Pembaharuan itu, jelasnya, sebagai daya penarik kepada pemain-pemain golf seluruh negara dan antarabangsa untuk menjadikan AKCC sebagai destinasi pilihan untuk bermain golf.
“Alhamdulillah setakat ini fasiliti di AKCC bukan sahaja mencapai standard, bahkan melebihi standard yang ditetapkan.
“Saya menyeru kepada pemain golf supaya datang ke AKCC dan merasai pengalaman bermain di sebuah lapangan warisan yang sangat menarik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.