Seri Negeri beroperasi seperti biasa

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 2 Okt. – Kompleks pentadbiran kerajaan negeri, Seri Negeri kembali beroperasi seperti biasa hari ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tinjauan Melaka Hari Ini ke lokasi kejadian mendapati pintu masuk ke bangunan berkenaan dikawal seperti biasa oleh pengawal keselamatan yang ditugaskan.

Difahamkan sejak pagi, staf yang memasuki kompleks berkenaan akan diimbas suhu sebelum dibenarkan masuk.

Bagi orang awam pula, pengawal keselamatan akan bertanyakan terlebih dahulu urusan mereka di situ dan kemudian mengimbas suhu setiap kali mereka tiba di pintu masuk Seri Negeri.

Selain di pintu masuk utama, pengawal keselamatan dan mesin pengimbas suhu berserta cecair sanitasi turut ditempatkan di setiap pintu bangunan bagi memastikan mereka yang benar-benar sihat sahaja dapat memasuki premis untuk melakukan urusan di situ.

Semalam, Seri Negeri ditutup kepada orang ramai bagi tujuan disinfeksi yang merupakan proses berkala dilakukan di kompleks berkenaan bagi membendung pandemik COVID-19 daripada terus menular.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, meskipun Seri Negeri beroperasi seperti biasa hari ini, namun segala aktiviti melibatkan kerajaan negeri akan ditangguhkan buat sementara waktu berikutan kes positif yang kembali meningkat sejak akhir-akhir ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman turut memaklumkan kesemua kakitangan kompleks Seri Negeri telah menjalani ujian calitan pagi tadi susulan, terdapat kes positif berlaku melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Amirudin Yusof yang didapati positif COVID-19, kelmarin.

Views:

672
Kongsi :
Previous post Jemaah cemas beg dilarikan
Next post Festival Kuih Bulan Melaka ditangguhkan
Ubah saiz-+=