Shahrir Samad bebas tuduhan gagal isytihar pendapatan RM1 juta kepada LHDN

Masa Membaca:2 Minit, 41 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir, 73, selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh dalam kes itu.

“Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa pendakwaan tidak akan diteruskan dalam masa terdekat. Dalam keadaan sedemikian adalah wajar tertuduh dilepas dan dibebaskan.

“Mahkamah mengguna pakai Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah selain terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dirujuk oleh pihak pembelaan. Saya perintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan. Tarikh perbicaraan pada 27 dan 28 Feb ini dilapangkan dan wang jaminan dikembalikan serta pasport diserahkan semula kepada tertuduh,” kata Hakim Muhammad Jamil.

Shahrir, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib yang hadir ke mahkamah hari ini, sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-23 dalam perbicaraan kes itu.

Terdahulu, Rasyidah Murni berkata pihak pendakwaan memohon menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Shahrir.

“Sehubungan itu Yang Arif, pihak pendakwaan mohon supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan,” katanya.

Seksyen itu menyatakan Pendakwa Raya pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman diberikan, boleh untuk tidak meneruskan kes dan semua prosiding diberhentikan dengan kebenaran mahkamah.

Ditanya Hakim Muhammad Jamil mengapa pendakwaan tidak meneruskan kes dan alasannya, Rasyidah Murni menjawab: “Arahan yang diterima adalah tidak meneruskan pendakwaan, setakat itu sahaja”.

Muhammad Jamil: Adakah pendakwaan akan diteruskan terhadap tertuduh pada tarikh akan datang dalam tempoh terdekat?

Rasyidah Murni: Tidak Yang Arif.
Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan atas alasan keterangan saksi pendakwaan berpihak kepada tertuduh.

Seorang lagi peguam, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pertuduhan terhadap Shahrir dibuat secara tergesa-gesa yang diputuskan oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

“Kes ini berada pada tahap akhir (pendakwaan) dan pegawai penyiasat sudah dipanggil dan mengakui keterangan tidak mencukupi untuk mendakwa Tan Sri Shahrir. Oleh demikian, kami mohon mahkamah memutuskan Tan Sri Shahrir dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros pula berkata permohonan pendakwaan supaya Shahrir dilepaskan tanpa dibebaskan tidak memberi kebebasan mutlak kepada anak guamnya.

“Tan Sri Shahrir diheret ke mahkamah sejak 2020, malah keluarganya turut berasa malu terhadap pertuduhan dibuat ke atas beliau. Sekiranya anak guam hanya dilepas tanpa dibebaskan, akan menyebabkan beliau tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya adakah beliau akan diheret ke mahkamah pada masa akan datang,” kata peguam itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1491
Kongsi :
Previous post Pemilihan UMNO: Ahmad Zahid bersikap terbuka, sedia dicabar
Next post Inspektor polis didakwa rogol, lakukan amang seksual terhadap remaja bawah umur
Ubah saiz-+=