Sorting by

×

Siapa bakal johan berbalas pantun berunsur Islam?

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

BUKIT PALAH 10 Sept – Seramai 12 finalis akan berentap di pusingan akhir Pertandingan Berbalas Pantun Berunsur Islam secara spontan yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat berkata, jumlah itu merangkumi empat finalis bagi setiap kategori yang dipertandingkan iaitu kategori sekolah menengah, institusi pengajian dan terbuka.

Menurutnya, pertandingan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2021 itu akan diadakan secara dalam talian dan disiarkan secara langsung di Facebook Live JAIM bermula jam 3 petang esok.

“Pusingan akhir kategori sekolah menengah (13 – 19 Tahun) akan diadakan pada jam 3 petang, diikuti kategori institusi pendidikan jam 5 petang dan kategori terbuka pada jam 8.45 malam.

“Keputusan pertandingan akhir itu akan diumumkan pada jam 9.45 malam.

“Menariknya, penonton bertuah yang memberikan serangkap pantun terbaik di ruangan komen sewaktu siaran langsung turut berpeluang memenangi hadiah misteri daripada JAIM,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, penganjuran tahun ini menyaksikan pihaknya menerima penyertaan daripada 86 peserta merangkumi 49 bagi kategori sekolah menengah, 21 institusi pendidikan dan 16 kategori terbuka.

Johan berbalas pantun spontan menerima RM500, piala iringan dan sijil penyertaan bagi setiap kategori, manakala acara membaca pantun, johan setiap kategori menerima RM300.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1297
Kongsi :
Previous post Kerajaan tawar tujuh transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan
Next post Jangkitan sporadik cetus kluster baharu hari ini
Ubah saiz-+=