Sorting by

×

Sidang DUN Melaka hanya empat jam sehari, terhad 90 petugas

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

RIM 15 Sept – Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 hingga 23 September ini akan dihadkan kepada empat jam sahaja setiap hari.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ghazale Muhamad berkata, perkara itu dilakukan kerana persidangan itu tertakluk kepada syarat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, meskipun terdapat 109 soalan lisan telah dikemukakan, persidangan itu hanya akan berlangsung bermula jam 9.30 pagi hingga 1.30 tengah setiap hari.

“Jadi disebabkan masa yang terhad, kita akan cuba ubah suai jadual yang mana tiada lagi rehat minum pagi dan ia akan terus kepada pengisian ditetapkan.

“Kita juga akan mencadangkan supaya soalan tambahan bagi setiap soalan lisan dihadkan, selain mengehadkan ahli dewan yang terlibat dengan perbahasan supaya kita dapat beralih kepada agenda yang lain.

“Apapun, semua itu tertakluk kepada persetujuan Speaker Dewan Undangan Negeri,” katanya yang ditemui selepas mengadakan lawatan Pasar Tani Khas Hari Malaysia di Pasar Tani Jasin, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bilangan petugas yang akan memasuki dewan persidangan juga akan dihadkan maksimum 90 orang pada satu-satu masa, selain terdapat perubahan tempat duduk membabitkan ahli-ahli dewan.

Ia dilakukan bagi mengambil kira ruang yang ada dan penjarakan yang ditetapkan di dalam dewan itu.

“Selain itu, semua ahli dewan dan petugas yang diizinkan masuk ke sidang persidangan nanti juga perlu menjalani ujian saringan RTK COVID-19 pada Jumaat ini.

“Selain itu, mereka juga perlu melakukan ujian saringan air liur (saliva) pada setiap hari Sidang DUN Melaka berlangsung,” katanya lagi.

Untuk rekod, kali terakhir sidang DUN dijalankan ialah pada 9 Disember tahun lalu menerusi Persidangan Ketiga Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14 yang diadakan di Kompleks Seri Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post Tajuddin pengerusi baharu kelab penyokong kerajaan, Mohd Khairuddin timbalan
Next post Agong zahir harapan MoU kerajaan, PH akhiri kemelut politik
Ubah saiz-+=