Sidang DUN: Perikanan rekreasi bakal jadi tarikan baharu Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 12 Disember – Sektor perikanan rekreasi dikenal pasti sebagai salah satu tarikan pelancongan baharu yang boleh diketengahkan di Melaka.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia berikutan kajian yang dilakukan Jabatan Perikanan Negeri mengenal pasti spesies ikan gred A seperti jenahak dan kerapu banyak terdapat di perairan Negeri Melaka.

Oleh yang demikian, ia boleh dipromosikan bagi menarik minat kaki-kaki pancing untuk datang ke Melaka sebagai salah satu produk pelancongan baharu.

“Begitu juga dengan pertandingan memancing yang boleh dirancang bersama pihak swasta bagi menjadikan Melaka sebagai destinasi memancing.

“Contoh, Rompin, Pahang menjadi lokasi kaki pancing bagi memburu spesies ikan bermusim seperti ikan layaran dan marlin.

“Jadi, di Melaka, memandangkan kita tidak mempunyai musim tengkujuh, kita boleh mempromosikan perikanan rekreasi seperti memancing ini sebagai satu tarikan baharu yang mana ia secara tidak langsung membantu pengusaha bot dan peniaga kecil di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan daripada Siti Faizah Abd Azis (BN-Sungai Rambai) pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Dewan Persidangan DUN, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan daripada Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana) mengenai kekurangan kawasan tangkapan ikan oleh nelayan disebabkan tambakan laut, Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri sentiasa proaktif dalam memastikan nelayan negeri ini tidak hilang mata pencarian.

Ia katanya, termasuklah dengan memperbanyakkan pelepasan tukun-tukun tiruan di perairan Melaka bagi menambah kawasan rumah ikan di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2172
Kongsi :
Previous post Sidang DUN: Melaka bentang Bajet 2023 hari ini
Next post Sidang DUN: 3,110 kapal berlabuh di Melaka tahun ini
Ubah saiz-+=