Sidang khas Parlimen mulai esok

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR, 10 April – Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan diadakan esok.

Sidang khas itu merangkumi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin (11 April) dan Mesyuarat Khas Dewan Negara pada Selasa (12 April).

Pembentangan dan perbahasan itu melibatkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Bagaimanapun, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti yang dijadual dibentang, dibahas dan diluluskan pada mesyuarat khas kali ini, ditangguh ke satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

Penangguhan itu dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Khamis lepas, yang diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut hadir beberapa wakil kerajaan dan blok pembangkang antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

Pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti itu ditangguh buat kali kedua selepas dijadual untuk dibentang bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac. Penangguhan kali pertama itu dibuat untuk membolehkan pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh dan semua sesi libat urus selesai.

Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata beberapa cadangan pindaan Perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat Mac lepas termasuk rang undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Ia selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu rang undang-undang itu disegerakan selepas kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan pada 13 Sept 2021.

Pada 2 April, Wan Junaidi mendedahkan seramai 39 Ahli Parlimen di negara ini melompat parti sejak 2018 dan tindakan itu membawa kepada ketidakstabilan politik selain negara turut menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam satu penggal Parlimen.

Persidangan khas Parlimen adalah mesyuarat yang diadakan semasa Majlis dalam tangguhan dan mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 11 (3), urusan-urusan mesyuarat itu hendaklah ditetapkan oleh Perdana Menteri dan pemberitahuan berkenaan urusan itu hendaklah dihantar kepada ahli-ahli tidak lewat daripada masa hendak diadakan mesyuarat itu.

Mesyuarat Khas Parlimen itu juga berbeza dengan mesyuarat penggal biasa antaranya tiada urusan-urusan kerajaan lain dan sesi soal jawab lisan.

Sidang khas kali ini adalah yang ketiga dalam tempoh setahun selepas mesyuarat khas berkaitan Proklamasi Darurat serta Ordinan-ordinan Darurat diadakan pada 26 Julai 2021 dan sidang khas isu banjir pada 20 Jan.

Selain itu, sidang khas Parlimen sebelum ini yang pernah diadakan antaranya berkenaan isu Gaza pada 12 Jan 2009, isu MH17 pada 23 Julai 2014 dan Isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 26 dan 27 Jan 2016.

Dalam pada itu, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 dijadual bermula pada 18 Julai hingga 4 Ogos manakala Mesyuarat Ketiga dijadual selama 31 hari bermula 26 Okt hingga 15 Dis ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post Pemimpin masyarakat digesa bantu golongan miskin dapatkan bantuan agensi kerajaan – Mahdzir
Next post Pelajar UUM Nur Nabilah selamat tiba di tanah air
Ubah saiz-+=