Sidang Parlimen diadakan bila tiba masa sesuai- Takiyuddin

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR 26 April. – Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masa sesuai sama ada sebelum atau selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata kerajaan akan terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada semua pihak berkaitan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara berhubung status penularan COVID-19.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan. Gambar fail

“Kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembagaan (constitutional responsibilities) untuk memastikan penerusan proses demokrasi di negara ini terjamin melalui sidang Parlimen.

“…namun keutamaan pada masa ini adalah memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO mendesak dan mengesyorkan kerajaan supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang semasa tempoh darurat.

Takiyuddin berkata semasa darurat, semua pihak termasuk pembangkang boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan melalui saluran-saluran yang dibenarkan termasuk menerusi Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa proklamasi darurat.

Selain itu, katanya tidak wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salah guna kuasa semasa darurat kerana kerajaan berfungsi seperti biasa.

Ini katanya termasuk dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguat kuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

“Justeru semua pihak diseru supaya memberikan sepenuh kerjasama kepada kerajaan dalam usaha giatnya demi memastikan kelangsungan hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial,” kata Takiyuddin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post Pendapatan RM30,000 dengan hanya jual kuih tradisi
Next post 45 pelanggan restoran dikompaun langgar SOP
Ubah saiz-+=