Sikap peka, cakna orang ramai kesan kes dera lebih awal

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BUKIT KATIL 23 November – Kesedaran orang ramai berhubung tanggungjawab untuk melaporkan kejadian dera di negeri ini semakin meningkat, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Mengulas lanjut Kalsom berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu Negeri Melaka merekodkan sebanyak 306 kes penderaan.

Katanya, peningkatan jumlah kes adalah hasil kepekaan, keprihatinan dan sikap cakna orang ramai berhubung kejadian dera berlaku di sekitar mereka.

“Bagi 12 bulan 2022 cuma 86 kes dera dilaporkan di Melaka, tetapi untuk 2023 setakat Oktober sudah ada 306 kes, iaitu meningkat sebanyak 220 kes berbanding tahun lalu.

“Banyak kes dera yang dilaporkan di negeri ini melibatkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) tidak berlesen dan premis berkenaan sudah diarahkan tutup serta merta.

“Menyahut saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, kita di Melaka akan memperkasa kanak-kanak agar mereka berupaya bertindak sekiranya berlaku ancaman terhadap nyawa atau keselamatan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kutipan Sumbangan Palestin oleh Wanita UMNO Melaka di Dewan UMNO Hang Tuah Jaya, di sini, semalam.

Jelasnya, pengusaha taska dan pusat jagaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tiada kes dera berlaku di premis mereka.

“Pemerkasaan ini turut kita perluaskan ke Taska dan pusat jagaan kanak-kanak di mana pengusaha dan pengasuh Taska juga mempunyai tanggungjawab memastikan tiada berlaku kes penderaan di premis mereka,” katanya.

Tambah Kalsom, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memantau kesemua Taska dan pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini dari semasa ke semasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1100
Kongsi :
Previous post TMM2024: Klebang tawar produk pelancongan baharu
Next post Serangan Israel masuk hari ke-47, angka korban di Gaza meningkat kepada 14,532 orang
Ubah saiz-+=