Sorting by

×

Sikap tak sabar pemandu, penunggang punca kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Enam kesalahan trafik berpunca daripada sikap tidak sabar pemandu dan penunggang dikenal pasti sebagai punca utama penyebab kemalangan jalan raya di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antara kesalahan itu adalah memandu melebihi had laju; memandu di lorong kecemasan; memotong di garisan berkembar; memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

Razarudin berkata, enam kesalahan itu menjadi fokus utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Op Selamat 19 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Selain memastikan kelancaran (aliran trafik) itu sendiri, kelancaran perjalanan pulang ke kampung adalah mustahak (dititik beratkan dan bagi pengguna jalan raya yang akan gunakan Lebuhraya Utara – Selatan (Plus) atau mana-mana lebuh raya.

“Kami mahu pastikan mereka tidak lakukan kesalahan, terutama yang memandu dalam keadaan laju, guna telefon dan kesalahan yang disebutkan tadi.

“Kalau boleh dihindarkan cuba bersabar, memang kita anggarkan berjuta kenderaan di jalan raya terutama pada 19 hingga 24 Januari ini (sempena perayaan Tahun Baharu Cina),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim dan Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Sazali Harun.

“Motosikal kekal sebagai penyumbang utama dengan 64 peratus kecelakaan berpunca daripada sikap pengguna kenderaan itu sendiri.

“Kemalangan babitkan kenderaan berat seperti lori cuma lapan peratus tetapi kemalangan melibatkan lori dan motosikal ini tinggi. Jadi kita akan mengurangkan kemalangan melibatkan motosikal itu,” katanya.

Bersempena perayaan Tahun Baharu Cina, PDRM dengan kerjasama Plus Malaysia Berhad menjalankan Op Selamat bermula 18 hingga 27 Januari ini.

Sebagaimana tahun sebelumnya, operasi berkenaan mengekalkan tema sama iaitu ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ dengan memberi perhatian terhadap meminimakan kemalangan jalan raya dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang perayaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1949
Kongsi :
Previous post Melaka antara 30 ‘hotspot’ kemalangan, kesesakan
Next post Plus jangka pergerakan dua juta kenderaan pada Tahun Baharu Cina
Ubah saiz-+=